Aspek tatabahasa

TAUTAN 
Halliday dan Hassan dalam Mohd Rashid Md Idris (2004) mendefinisikan tautan sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tautan ayat sehingga melahirkan suatu teks yang padu atau memperlihatkan tautan ayat sehingga melahirkan suatu tesk yang padu atau memperlihatkan tautannnya. Tatabahasa Dewan pula menyatakan tautan sebagai ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap.
Terdapat beberapa tokoh yang membahagikan ciri-ciri runtutan. Beugrande dan Dressler dalam Mohd Rashid (2004) membahagikan runtutan kepada enam, iaitu perulangan, perulangan sebahagian, paralelisme, para frasa, bentuk pro dan elipsis. Halliday dan Hassan dalam Henry Guntur Tarigan pula membahagikan tautan kepada pronomina, substitusi, elipsis, konjungsi dan leksikal. Melalui pendapat tokoh di atas, ciri-ciri runtutan boleh digolongkan kepada tiga golongan, iaitu semantik, leksikal dan sintaksis.



RUNTUTAN
Runtutan bermaksud koheren. Webster dalam Tarigan menyatakan koheren, adalah hubungan yang sesuai atau ketergantungan antara satu sama lain yang rapi, beranjak dari hubungan-hubungan alamiah bahagian-bahagian atau hal-hal satu sama lain, seperti bahagian-bahagian wacana atau argumen-argumen suatu rentetan penalaran. Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid pula mendifinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Secara kesimpulannya, runtutan dapat difahami sebagai kaitan sesuatu ujaran secara logik bagi memberi kefahaman kepada pembaca.
Menurut F. J Angelo dalam Tarigan, koherensi atau runtutan terbahagi kepada penambahan, rentetan, kata ganti diri, pengulangan, sinonim, keseluruhan dan bahagian, kelas dan anggota, penekanan, perbandingan, pertentangan, hasil, contoh, paralel, lokasi, dan waktu. Harimurti Kridalaksana dalam buku yang sama membahagikan runtutan kepada hubungan sebab akibat, hubungan alasan akibat, hubungan hasil, hubungan tujuan, hubungan kesimpulan atau hasil, hubungan hasil dan kegagalan, hubungan syarat dan hasil, hubungan perbandingan, hubungan parafrasa, hubungan amplikatif, hubungan aditif temporal, hubungan aditif nontemporal, hubungan identifikasi, hubungan generik spesifik dan hubungan ibarat. Perbincangan ini melibatkan beberapa ciri yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh di atas.



TUJUAN DAN PENERIMAAN
Umumnya, tujuan merupakan salah satu tahap runtutan. Tujuan dan penerimaan merupakan salah satu ciri penting dalam wacana yang sangat berkaitan dengan tautan dan runtutan. Setiap perkara yang diujarkan dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu ujaran diperkatakan adalah ditentukan melalui tujuan penulisan atau pengucapnya. Hal ini penting untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Akhirnya, tujuan akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Tahap tujuan dan juga tahap penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan. Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid mendifinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Runtutan ialah suatu susunan fikiran secara logik. Oleh itu, runtutan difahamkan sebagai susunan secara rapi dan logik idea-idea yang ingin disampaikan bagi memberi kefahaman kepada penerima. Kajian terhadap runtutan dapat dikaji berdasarkan empat tahap iaitu:

1. Tahap tujuan dengan melihat kepada tahap sesebuah teks dapat menepati tujuan penutur atau penulis.
2. Tahap penerimaan adalah merujuk kepada penilaian penerimaan dan pemahaman penutur atau pembaca terhadap sesuah teks.
3. Tahap maklumat berkaitan dengan sesebuah teks dari sudut pandangan pembaca.
4. Tahap keadaan iaitu tahap yang bersangkutan dengan kerelevenan teks dengan situasi ujaran.



KEADAAN
Sesuatu teks yang mempunyai wacana perlu wacana perlu mempunyai ciri keadaan. Keadaan merupakan latar bagi sesuatu perkara yang diperkatakan bagi memudahkan pendengar atau pembaca memahami teks. Latar terbahagi kepada 3 jenis iaitu latar masa, latar tempat dan latar keadaan. Menurut Nik Hassan Nik Basri, latar ialah keterangan atau gambaran persekitaran atau keadaan yang berkaitan atau yang meliputi perihal tentang masa, tempat, masyarakat atau suasana yang terjadinya sesuatu peristiwa dalam karya. Misalnya latar yang menggambarkan keadaan pada waktu pagi. Contohnya seperti ayat di bawah.

Kelihatan embun jantan di celah-celah daun memang mendamaikan hatiku yang gelisah

Keadaan di atas menunjukkan keadaan pada waktu pagi. Hal ini dibuktikan melalui penggunaan perkataan embun jantan. Embun selalunya muncul pada waktu pagi. Keadaan turut dilihat melalui latar tempat . Hal ini boleh dilihat melalui ayat di bawah:

Suasana bandar yang hiruk-pikuk bukan tempat yang sesuai didiami berbanding kampung.
 
Contoh di atas menunjukkan keadaan bandar. Keadaan ini dapat difahami apabila pembaca membaca latar tempat bandar yang dikaitkan dengan bunyi bising. Selain itu, keadaan turut dilihat melalui latar masyarakat . Latar masyarakat melihat keadaan masyarakat atau budaya masyarakat. Contohnya seperti ayat di bawah.

Kini, hampir setiap rumah di Malaysia mempunyai komputer.

Ayat di atas menunjukkan keadaan masyarakat Malaysia pada masa kini. Melalui latar atau keadaan sesuatu perkara, tahap penerimaan oleh pembaca mahupun pendengar adalah tinggi. Pemilihan kata, frasa atau ayat adalah penting bagi menjadikan sesuatu wacana itu sesuai dengan keadaan.






INTERTEKS
Interteks  amat bergantung dengan wacana lain. Wacana lebih mudah difahami oleh pembaca atau pendengar melalui interteks. Interteks adalah pengetahuan sedia ada pembaca mahupun pendengar mengenai perkara yang diperkatakan tahap penerimaan semakin tinggi apabila masyarakat semakin banyak mendengar atau membaca sesuatu maklumat.  Melalui interteks, pembaca atau penerima akan lebih memahami tujuan  wacana yang ingin disampaikan. Kefahaman seseorang terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau didengar akan membantunya  menghasilkan interteks.
Selain itu, antara teks dengan teks haruslah mempunyai pertalian .Dalam sesuatu ayat atau perenggan, ayat sebelum atau perenggan sebelumnya mempunyai maklumat yang akan diperkatakan dalam perenggan yang berikutnya. Hal inilah yang diperkatakan sebagai interteks. Interteks boleh dilihat melalui ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan serta buku dengan buku. Contohnya lihat ayat di bawah:
Kereta itu berwarna kuning. Ali memandu kereta itu.

Contohnya di atas menunjukkan wujud ciri interteks. Melalui ayat kedua, kita mengetahui Ali memandu kereta berwarna kuning melalui penyataan pada ayat pertama. Begitu juga halnya dengan interteks perenggan dengan perenggan , bab dengan bab. Pembaca atau pendengar akan mengetahui tujuan penulis menulis sesuatu perkara berdasarkan pembacaannya terhadap maklumat sebelumnya.




STRUKTUR MAKLUMAT DAN STRUKTUR TEMA
Brown dan Yule dalam Mohd Rashid Md Idris (2004) melihat struktur maklumat terdiri daripada maklumat lama sahaja. Halliday telah menyatakan bahawa struktur maklumat termasuk ke dalam fungsi makna kompenan tekstual selain menjadi sebahagian daripada organisasi tema waca. Sato Hirobumi pula mendefinisikan struktur maklumat sebagai satu struktur yang membina unit maklumat. Struktur maklumat terbahagi kepada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama sering ditandai dengan kewujudan teks sebelumnya yang diulang kembali dalam konteks baru. Selalunya terdapat tujuh petanda yang menunjukkan sesuatu maklumat adalah maklumat lama. Antaranya seperti kaedah perujukan, kaedah penggantian, kaedah pengulangan, kaedah pengulangan sebahagian, kaedah elipsis, kaedah leksikal dan kaedah prafrasa. Sebagai contohnya dalam maklumat lama yang menggunakan kaedah perujukan seperti ayat di bawah:

Ahmad dan Syukri bermain bola setiap petang. Mereka bermain bola di padang UPSI.

Kata ganti diri mereka dalam ayat di atas merujuk dalam ayat di atas merujuk kepada Ahmad dan Syukri. Rujukan ini menunjukkan maklumat lama. Maklumat baru boleh difahami sebagai maklumat tambahan kepada maklumat lama. Sato Hirobumi dalam Mohd Rashid Md Idris (2004) membahagikan maklumat baru kepada empat petanda, iaitu maklumat baru tambahan, maklumat baru konstraktif, maklumat pemberitaan neutral dan maklumat baru fokus. Sebagai contohnya dalam ayat di bawah:

        ML                                                         MB
Judul                                                   Maklumat tambahan konstruktif
Siti Nurhaliza memenangi                     Anugerah Bintang Paling Popular


Ayat di atas menunjukkan penggunaan maklumat tambahan konstruktif melalui klausa memenangi Anugerah Bintang Paling Popular kerana maklumat tersebut merupakan maklumat tambahan kepada judul, iaitu Siti Nurhaliza. Judul dikatakan maklumat lama kerana Siti Nurhaliza sudah dikenali ramai sedangkan anugerah yang didapatinya adalah maklumat tambahan yang baru diketahui.
Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid Md Idris (2004) menyatakan struktur tema sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat. Klausa dalam struktur tema terbahagi kepada tema dan rema. Tema boleh difahami sebagai fokus utama penceritaan. Selain itu, tema dapat difahami sebagai subjek yang diterangkan sedangkan rema adalah predikat yang menerangkan subjek. Hal ini boleh difahami melalui contoh di bawah:

TEMA                                                                     REMA
Ali                                                          suka makan kek



Ayat di atas menunjukkan penggunaan tema dan rema. Tema dapat dilihat melalui perkataan Ali kerana berfungsi sebagai  subjek yang diterangkan sedangkan suka makan kek pula merupakan rema kerana berfungsi menerangkan predikat.



RUJUKAN

Hendry Tarigan (1995). Pengajaran wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
      
Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012).
          Tatabahasa wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications. 

http://analisiswacana-ka12.blogspot.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan